10 petanda menunjukkan dia adalah jodoh
kita
Gunakan seluruh pancaindera,Jodoh adalah
perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita
hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia
telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi
gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua
manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti
memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat
merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak
hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia
seperti yang lovely perkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia
adalah jodoh kita ;
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan
tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara
ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun
kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan
gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia
sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat,
maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan
jodoh kita.
2. Senang atau selesa bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada
sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari
semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi
pengubat kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali
apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin
berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit
kehilangan.
3. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita
lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas
kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.
Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita
sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita
pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia
tahu, kita adalah miliknya kini.
Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya.
Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup
kita.
4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan
asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik
hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki
sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan
menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting
bagi suatu hubungan.
Apabila dia tidak jujur, sukar baginya
mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat
lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan
percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri.
Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang
ditanggung.
Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin
memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang
berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari
dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu
rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi,
kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti
cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang
memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta
berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling
bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama
melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas
bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling
penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya
tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting
kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.
Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup
bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus.
Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah
memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita
berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi
pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang
situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk
kita.
Dia juga bersedia mengalami pasang surut
dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula
suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.
Apabila dia sentiasa bersama kita melalui
hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang
sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah
jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.Pasti
di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang
bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.Sudah tentu bukan senang untuk
memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak
segan mempamerkan keburukannya kepada kita.
Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun
sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing,
memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia
dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan
pasangannya.Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan
masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain
dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup
kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata
hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan
Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh
yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi
petunjuk melalui mimpi.Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan
sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah
dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah
keputusan sebaiknya.
Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua
yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia.
Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal
selamanya.
Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita..?
“ Manusia merancang, Allah menentukan..”
Via : brother love
with love :
Miss AdDA
No comments:
Post a Comment